Monday, December 27, 2010

Setulus Cinta Nabi Muhammad


Setulus Cinta Nabi Muhammad

alt
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap, Rasulullah s.a.w. dengan suara terbatas memberikan kutbah.
"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.
Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,
Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam. Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
"Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya.
"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku (peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.)"
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii.. (Umatku, umatku, umatku).."
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai seperti Baginda mencintai kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.
Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah...

Kau...Aku...Pemimpin



alt
Setiap dari kita merupakan pemimpin. Pimpinan bermula dari tanggungjawab memimpin diri kita sendiri, keluarga, jiran, memimpin ahli masyarakat dan seterusnya memimpin negara. Kita kelak akan disoal dan dipertanggungjawab tentang kepimpinan dan amanah yang kita pikul.
Berikut beberapa ciri-ciri pemimpin yang baik sebagai perkongsian.
01.Cinta dan minat sepenuhnya dengan apa yang kita lakukan.
Terapkan cinta, minat dan rasa tanggungjawab terhadap pasukan dan organisasi dalam diri setiap ahli. Berikut Rukun 3T dan Prinsip 3K yang boleh diamalkan.
Rukun Usrah 3T : Ta'aruf, Tafahum dan Takaful
a. Ta'aruf- Saling kenal mengenal.
Berkenalan dalam erti sebenarnya memerlukan masa yang berterusan dan rasa ukhuwah yang tinggi.
b. Tafahum- Saling memahami satu sama lain.
Ikatan persaudaraan yang terjalin menuntut rasa kesefahaman dalam diri dan rasa tanggungjawab membantu sesama ahli.
c. Takaful- Tolong menolong membantu kearah kebaikan dan gerakan dakwah.
Prinsip amar makruf dan nahi munkar menjadi pegangan.
Prinsip 3K : Kebersamaan, Kesefahaman dan Kebanggaan
a.  Kebersamaan
Wujudkan kebersamaan dan rasa kesatuan dalam pasukan dan ahli kumpulan. Setiap masalah yang dihadapi adalah masalah bersama untuk ditangani. Wujudkanlah rasa kekitaan. "Kau + Aku = Kita"
"Kita hendaklah bersama..", "Program kita menghadapi masalah...".. "Syarikat kita perlu mencapai.."
b.  Kesefahaman
Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing yang menyumbang pencapaian pasukan. Justeru, ahli pasukan perlu saling memahami dan menghargai pendapat serta kebajikan sesama ahli pasukan.
c.  Kebanggaan
"Aku bersyukur dan bangga berada dalam kumpulan/pasukan ini".
"Aku bangga Kelantan menang piala Malaysia. Aku bangga jadi anak Kelate"
Naikkan semangat ahli pasukan tentang kejayaan-kejayaan terdahulu dan peluang serta potensi pasukan untuk mencapai kejayaan bersama.
02.Tetapkan matlamat bersama dan buat yang terbaik mencapainya bersama-sama dalam satu pasukan.
Matlamat bersama hendaklah jelas, spesifik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh masa.
03.Sikap yang positif dan sokongan moral yang berterusan.
Murah dengan senyuman, meluangkan masa berkongsi dan menyelesaikan masalah ahli pasukan, memberi pujian ikhlas atas usaha dan pencapaian ahli, melazimi ucapan terima kasih, ganjaran seperti belanja makan dan sebagainya.
04.Nilai-nilai yang baik diterapkan dalam kepimpinan.
Wujudkan nilai bersama yang menjadi pegangan dan amalan pasukan. Nilai tersebut perlulah sentiasa diulang-ulang atau ditampal, agar menjadi amalan setiap ahli. Contohnya ESQ melandaskan 7 nilai utama : Jujur, Tanggungjawab, Wawasan, Disiplin, Kerjasama, Adil dan Prihatin.
05.Mengagihkan tugasan secara jujur dan teratur.
Pemimpin sentiasa memberi galakan kepada ahli pasukan untuk berdikari dan membangunkan potensi diri.
06.Kepimpinan melalui teladan.
Tingkatkan karisma diri dan bina personaliti diri unggul. Sentiasa tenang dalam setiap keadaan dan berfikirlah secara matang dalam mengambil setiap keputusan.
07.Sedia bertanggungjawab atas setiap perbuatan atau tindakan ahli pasukan sama ada baik atau buruk, berjaya atau gagal.
08.Bergaul dengan orang yang berjaya dan bersahabat dengan sahabat yang baik. Pelajari rahsia kejayaan mereka.
Sekian, semoga bermanfaat.
Wasalam.
"Learn to serve. Let go of your ego and offer assistance to others."- Danny and Marie Lena
"You cannot control what happens to you, but you can control your attitude toward what happens to you, and in that, you will be mastering change rather than allowing it to master you."
"Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is to do what you believe is great work. And the only way to do great work is to love what you do. If you haven't found it yet, keep looking, and don't settle. As with all matters of the heart, you'll know when you find it." ~ Steve Jobs