Saturday, February 19, 2011

Usah Malu Duhai Anakku!




Kanak-kanak sudah menunjukkan tanda-tanda malu sejak berumur empat bulan lagi. Rasa malu itu secara semulajadi semakin berkembang selari dengan tumbesarannya. Telatah malu ini boleh dikesan bila dia bertemu dengan seseorang yang baru dikenali atau ketika dia menjadi tumpuan dan sebagainya. Kadang-kadang dia memalingkan muka, tersenyum simpul, menundukkan kepala atau menekup tangannya ke muka. Dalam situasi lain pula, kita perhatikan anak-anak ini petah dan ramah bila di rumah, namun senyap dan membisu bila didepan orang ramai. Semua ini adalah tanda-tanda perkembangan perasaan malu dalam diri anak-anak.


Sesetengah ibu bapa tidak menyedari hakikat perasaan malu yang mencengkam anak-anak ini, lantas tidak berusaha untuk mengatasinya. Hasilnya anak-anak itu menjadi pemalu tidak bertempat, tiada ketrampilan diri dan kurang keyakinan diri. Lebih malang lagi mereka menjadi pasif dan enggan bergaul dengan orang ramai. Sedangkan, sebagai seorang muslim dia seharusnya mempunyai keberanian dan keyakinan diri untuk berperanan membimbing dan memimpin masyarakat.


Malu Itu Iman

Tidak dinafikan bahawa malu itu adalah benteng yang dapat mengelakkan anak-anak dari melakukan maksiat. Bahkan perasaan malu dari melakukan maksiat itu adalah sebahagian dari iman.
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: Malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Para sahabat menjawab: Kami memang malu kepada Allah, wahai Rasulullah, alhamdulillah. Baginda berbicara lagi: Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebanar-benar malu ialah: engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan barangsiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia. Barangsiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu."
Malu yang dimaksudkan di atas ialah malu dari mengingkari perintah Allah dan malu dari melakukan kejahatan. Ini bermakna, perasaan malu yang memang ada dalam diri anak-anak itu perlu dipupuk agar dimanfaatkan untuk menjaga maruah diri, menjauhi maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah. Namun malu itu, di samping boleh menjadi perisai kejahatan, ia juga boleh menjadi penghalang kebaikan.


Biar Bertempat

Ibu bapa berperanan untuk membimbing anak-anak menggunakan perasaan malu dengan betul. Pertamanya, mereka perlu tahu bahawa malu itu boleh membawa kebaikan dan keburukan. Mereka perlu diberitahu bahawa ada tika mereka perlu malu dan ada tika mereka perlu membuang perasan malu. Batas-batas syariat perlu diajar, agar mereka boleh tahu mana malu kerana Allah dan mana malu yang semata-mata datang dari perasan.

Setelah itu ibu bapa perlu berusaha untuk mengikis perasaan malu pada tempat dan suasana yang tidak perlu malu. Contohnya, malu untuk berinteraksi dengan tetamu, malu untuk bertanya soalan dalam kelas, malu untuk memberikan pendapat, malu untuk menjadi imam, malu untuk menyertai pertandingan dan sebagainya.
Ibu bapa boleh mengikis perasaan malu dengan mendedahkan anak-anak bergaul dengan orang ramai sama ada rakan sebaya atau dengan orang yang lebih dewasa. Mereka perlu dibiasakan dengan tatabudaya dan adab bicara dengan tetamu dan orang yang diziarahi. Galakkan dia berinterksi dengan berani dan bebas.

Selain itu ibu bapa perlu mendorong anak-anak agar mengambil bahagian aktif di selolah, baik dalam kelas mahu pun dalam aktiviti ko-kurikulum. Galakkan mereka bertanya soalan kepada guru, memberikan pendapat serta terlibat aktif dalam aktiviti sekolah. Jika berpeluang doronglah mereka menyertai pertandingan atau persembahan supaya mereka menjadi berani dan tidak malu.


Kisah Ibnu Umar

Dalam Sahih Bukhari terdapat satu hadis yang mengisahkan Abdullah bin Umar ketika dia masih kanak-kanak. Dia meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berkata dihadapan sahabat-sahabat: Sesungguhnya ada di antara pohon-pohon, sebuah pohon yang tidak gugur daunnya, dan itulah umpama seorang muslim, maka nyatakan kepada ku apakah pokok itu? Para sahabat masing-masing menyangka pohon itu adalah pohon yang terdapat di pendalaman. Abdullah bin Umar berkata: Saya telah mengagak di dalam hati saya bahawa pohon itu adalah pohon kurma, namun saya malu untuk mengucapkannya. Lalu para sahabat berkata: Beritahulah kami apakah pohon itu ya Rasulullah!. Jawab Baginda: Itulah pohon kurma!.
Abdullah bin Umar berkata dalam riwayat lain: Saya melihat Abu Bakar dan Umar tidak mengatakan apa-apa, maka saya tidak ingin mengatakannya. Apabila pulang, saya memberitahu bapa saya (Umar Al-Khattab) tentang apa yang saya fikirkan dalam hati saya tadi. Lantas, bapaku menjawab: Andaikata engkau menjawab tadi, sesungguhnya itulah yang aku lebih sukai dari mendapat unta merah!.
Nah, lihatlah betapa Sayyidina Umar amat menggalakkan agar anaknya yang masih kecil ini untuk berani menyuarakan pendapatnya. Demikianlah dorongan seorang sahabat besar kepada anaknya agar menjadi berani dan tidak malu.


Si Kecil Yang Petah

Terdapat satu kisah menarik pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menunjukkan kejayaan anak kecil mengikis perasaan malunya untuk berbicara di hadapan seorang pemimpin utama negara. Di awal pemerintahan Umar, satu rombongan dari Hijjaz telah datang untuk bertemu baginda. Rombongan itu menyerahkan tugas untuk bercakap mewakili mereka kepada seorang kanak-kanak yang belum sampai usia 11 tahun. Melihat hal itu, Khalifah Umar berkata kepadanya: Berundurlah engkau dulu, agar orang yang lebih dewasa tampil ke hadapan.

Maka berkatalah si anak kecil itu: Moga-moga Allah mengekalkanmu wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dihitung dengan dua anggota yang paling kecil baginya: iaitu hatinya dan lidahnya. Jika Allah sudah mengurniakan si hamba itu lidah yang petah, dan hati yang kuat ingatan, maka sudah tentu dia berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, andaikata semua perkara diukur dengan umur, nescaya ada orang lain yang lebih berhak daripada mu untuk jawatanmu ini!.

Akhirnya Khalifah Umar Abdul Aziz akur kerana sangat kagum dan terharu dengan kebolehan salah seorang rakyatnya yang masih kecil itu. Lantas dia bermadah:
Belajarlah, kerna tiada manusia lahirnya berilmu,
Dan si alim itu tidak sama dengan si jahil dungu,
Sesungguhnya pemimpin yang gersang ilmu itu,
Dipandang kecil bila dikelilingi mereka yang serba tahu.

Kisah di atas menggambarkan potensi yang ada pada anak kecil yang berjaya digarap dengan hilangnya perasaan malu. Sesungguhnya ia berlaku hasil didikan ibu bapa yang gigih melatih anak-anak supaya berani, berketrampilan dan tidak malu untuk melakukan perkara yang baik.
Kesimpulannya, ibu bapa yang mahukan anak-anaknya hebat, cemerlang dan memimpin masyarakat suatu hari nanti perlulah mendidik anak supaya tidak malu tak bertempat. Perasaan malu boleh dikikis dengan latihan dan pendedahan berterusan oleh ibu bapa. Usaha pendidikan begini penting bukan sahaja untuk kebaikan ibu bapa itu, bahkan juga untuk maslahah ummah yang memerlukan penggerak dan pemimpin ummah yang berkesedaran dan cemerlang.

- Artikel iluvislam.com

Bukan Untuk Saya - Saya Bukan Valentine

0

Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerabat baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan hingga ke Hari Kiamat.
Serangkap peribahasa dari negara Barat menyatakan 'Imitation is the most sincere form of praise' yang bermaksud 'Tiruan adalah pujian yang paling jujur'. Saya pula berkata, 'Tiruan adalah tanda yang paling jelas bagi menunjukkan kehambaan mental'.

Jadi, apakah maksud sebenar 'Valentine's Day'?
Ini adalah hasil pencarian Google saya baru-baru ini.
"Dalam sejarah Rom, 14 Februari merupakan tarikh cuti khas untuk menperingati Juno, Permaisuri Tuhan-Tuhan Roman. Keesokan hari tersebut, Jamuan Lupercalia pula akan diadakan bagi menyambut hari cuti yang penuh bermakna itu.
Pada masa ini, semua lelaki dan perempuan diasingkan antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai satu upacara yang bermula menjelang hari sambutan Perayaan Lupercalia. Pada asasnya, semua nama perempuan akan ditulis di atas sehelai kertas dan kesemua helaian kertas tersebut akan diletakkan di dalam beberapa buah baling khas. Kemudian, setiap lelaki akan cabut sehelai nama dari mana-mana balang dan mereka akan terus menjadi pasangan sepanjang Perayaan itu. Selepas menjadi pasangan, mereka sudah semestinya akan terus berhubung antara satu sama lain sehinggalah sampai satu masa, mereka akan jatuh cinta dan berkahwin.
Raja Rom pada ketika itu, Raja Claudius II, juga dikenali sebagai Raja Kejam Claudius, sedang menghadapi masalah yang besar untuk mengambil pemuda-pemuda lelaki Rom untuk dijadikan sebagai askar. Dia percaya bahawa semua lelaki Rom enggan meninggalkan kekasih mereka serta membatalkan segala pertunangan dan perkahwinan yang telah dijadualkan di seluruh negara. Oleh itu, seorang paderi Rom yang bernama St. Valentine telah bertindak mengahwinkan ramai pasangan kekasih secara rahsia. Namun yang demikian, akhirnya dia ditangkap, ditahan dan dihukum dengan berat. Dia telah dibelasah sehingga mati dan kepalanya dipancung pada 14 Februari sekitar tahun 270.

Jamuan Lupercalia wujud bagi melambangkan ketidakpercayaan terhadap Tuhan. Pegawai-pegawai gereja dan paderi-paderi dari zaman Awal Kristian telah mengubahsuai Perayaan Lupercalia dengan mengubah salah satu daripada adat resamnya, iaitu tidak meletakkan nama-nama perempuan di dalam kesemua balang tersebut. Mereka menukar kesemua nama tersebut dengan nama-nama orang yang telah berkorban demi agama mereka. Mereka sebulat suara memilih nama serta hari pengorbanan St. Valentine sebagai "Valentine's Day" bagi menggantikan perayaan untuk jamuan itu."

Hari ini, syukur Alhamdulillah kerana kita semua tahu mengapa umat Islam diharamkan daripada menyambut Valentine's Day serta melakukan segala perbuatan yang meniru atau menampakkan walau sedikitpun unsur-unsur perayaan ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini merangkumi perbuatan-perbuatan seperti berdua-duaan dengan bukan muhrim, bermanja-manja atau menjalin hubungan cinta dengan penuh romantik secara jelas, melalui Internet, dan lain-lain. Semuanya adalah jelas sama sekali - HARAM.

Saya rasa, tiada seorang pun umat Islam hari ini yang tahu membaca dan menulis, tetapi pada masa yang sama, tidak tahu bahawa semua perbuatan ini adalah HARAM. Jadi, saya ingin berbicara dengan lebih lanjut mengenai satu lagi aspek yang hina lagi keji di dalam perayaan syaitan ini. Saya menggelarnya – 'The Thin Edge of the Wedge', iaitu dari segi bahasanya bermaksud "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang"

Lebih tepat lagi, mereka menggelarnya "Kebebasan". Ya, ia memang jelas sekali membawa makna yang baik, jadi kita tidak pula memikirkannya dengan lebih mendalam. Sebenarnya, "kebebasan" mereka bermaksud kebebasan untuk membuat apa sahaja yang mereka nak, sebagai contoh menjadi diri mereka sendiri, menyuarakan perasaan, mempunyai ruang, dan sebagainya. Terjemahannya memang baik, malah bukankah kita juga percaya terhadap sesebuah perjuangan untuk kebebasan? Bukankah selama ini kita acapkali memberikan sokongan yang mantap kepada semua pihak yang mewakili kita bagi berjuang untuk mendapatkan hak kita? Sepatutnya, kita mesti muhasabah diri kita dulu dengan beberapa soalan sebelum kita berbuat demikian, soalan-soalan seperti:


i.   Kebebasan dari apa?
ii.  Untuk buat apa?
iii.  Apakah maksud sebenar 'menyuarakan perasaan kita'?
iv. Apakah maksud 'ruang'?

Dengan itu, barulah kita tahu maksud sebenar 'kebebasan', iaitu kebebasan dari menurut segala peraturan dan undang-undang, yang telah disusun khas bagi membentuk peribadi mulia semua penduduk di sesebuah negara untuk membolehkan mereka bertanggungjawab terhadap keamanan mereka bersama-sama. Tetapi persoalannya, bukankah semua perbuatan  ini juga boleh diterjemahkan sebagai 'anarki'?
'Betul', kata mereka. Tetapi, sebagaimana yang kamu boleh lihat, mereka inilah umat manusia yang pelik, memalukan, tidak berakal, serta berfikiran ke belakang, dan tidak mempunyai nilai-nilai moral yang baik seperti orang lain. Inilah masanya untuk kita campak mereka jauh-jauh, berserta dengan segala ideologi-ideologi sesat mereka. Ini adalah khas untuk membolehkan kita menyertai aliran pemikiran sebuah masyarakat moden di dalam kampung yang bernama "Dunia" ini.
Mereka lupa nak beritahu kita bahawa 'konsumerisme' – adat perbelanjaan, ialah adat resam yang dominan di dalam kampung "Dunia" ini. Inilah adat yang membolehkan manusia memuaskan nafsu mereka untuk berbelanja, dengan berbekalkan had kad kredit mereka sebagai hutang. Mereka takkan sesekali mengingatkan kita bahawa satu hari nanti, kita mesti membayar juga segala hutang kad kredit yang telah dibelanjakan! satu hari nanti, kita akan dipertanggungjawabkan!
Mereka juga lupa untuk beritahu kita bahawa kesemua perbuatan ini menuju ke arah suatu pemikiran yang menjadikan manusia alpa terhadap tanggungjawab serta mementingkan diri sendiri – "Kau, kau! Aku, aku! Yang penting aku hidup bahagia!"


Peringatan: Bagi golongan-golongan yang disebutkan di atas;
1. Perkataan "Keluarga" sangat dibenci kerana keluarga melambangkan keperibadian tanggungjawab.
2. Perkataan "Tanggungjawab" juga sangat dibenci kerana orang yang bertanggungjawab arif berbelanja dengan penuh waspada dan tidak menurut nafsu.
3. Mereka amat benci orang yang bertanggungjawab kerana mereka tahu golongan ini pandai menabung,  tidak membazir, tidak menurut nafsu dan tidak mengikut gaya hidup negatif

*Kesimpulannya, orang yang bertanggungjawab tidak menyokong 'konsumerisme' sama sekali. Ini berita buruk! Pendek kata, 'keluarga' mestilah dimusnahkan!
Untuk mencapai impian tersebut, dua perkara mesti dibolehkan secepat mungkin.

1.  Hubungan seksual (kasual dan tidak mengira kaum)
2.  Amalan-amalan yang tidak bermoral

Tapi, takkan kita nak cakap sebegitu rupa. Betul tak? Mestilah semua pihak akan melontarkan pelbagai kritik itu dan ini. Jadi, mereka mencipta satu istilah baru – "kebenaran orang dewasa"
Pada zaman moden ini, semua orang pun beranggapan bahawa 'menjadi dewasa' bermaksud membuat segala keputusan mengenai apa sahaja berkaitan kehidupan masing-masing dan orang luar tidak berhak untuk masuk campur, kan? Katakanlah dua orang dewasa ingin melakukan sesuatu yang orang lain tidak bersetuju atau menganggap ianya tidak baik, contohnya seperti rakyat jelata atau orang agama yang menyatakan pendapat mereka. Ini sudah semestinya melawan kebebasan, kan? Melawan kebebasan itu tidak elok, kan?
Maka dengan itu, wujudlah istilah "kebenaran orang dewasa" Kita pula tanpa segan-silu menyokong dengan penuh semangat yang jitu.

Jadi sekarang ini, bagi membolehkan kita "berjuang untuk kebebasan" kita mestilah menjadi dewasa dulu. Dewasa itu apa? 21 tahun? Tua sangat, orang dah lama matang. Jadi, 18? Apa kata 16? Ahh! Alangkah gembiranya hidup masa umur 16 tahun! Tapi kita tak boleh cakap sebegitu. Sebenarnya, 16 tahun ialah umur yang sangat sesuai untuk memperoleh kebenaran kerana seseorang manusia sudahpun matang semasa berumur 16 tahun. Jadi kenapa mereka mesti dikongkong daripada memperjuangkan hak mereka?
Kenyataan ini sangat asyik didengari, kan?

Jadi, macam mana nak jadikan hubungan seksual yang kasual supaya diterima oleh orang ramai?
Satu kaedah yang amat efektif ialah C-I-N-T-A. Perkataan yang mempunya lima huruf ini sebenarnya ada maksud tersirat, juga lima huruf iaitu N-A-F-S-U. Oleh itu, mereka pun mempromosikan idea C-I-N-T-A ini dalam satu bentuk perayaan – Valentine's Day. "Apa masalahnya?" tanya mereka. "Lebih-lebih pun, budak-budak lelaki dengan perempuan meluahkan rasa C-I-N-T-A kepada kekasih mereka." (Budak ke? Tak juga, semua macam bapak budak). Mula-mula, orang-orang alim Kristian pun tak benarkan perbuatan ini, tetapi akhirnya mereka mengalah.

Hakikatnya, Valentine's Day menggalakkan adat berbelanja di kalangan semua orang bagi membolehkan mereka meluahkan rasa C-I-N-T-A. Jadi, apa yang berlaku terhadap semua pihak yang cakap Valentine's Day ini HARAM? Kalau tak dipanggil Islamist, mesti mereka akan dipanggil sebagai pengacau, cerewet, terrorist, cacat akal, pandang ke belakang, dan yang sewaktu dengannya. Nampak tak?

Kenapa Allah s.w.t. beritahu manusia mengenai semua perayaan syaitan ini? Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِين

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Al-Baqarah (Surah Ke-2:Ayat 168) Wahai manusia! Makanlah apa yang dibolehkan dan baik di atas muka bumi, dan jangan sesekali ikut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya, dia adalah musuh yang paling nyata. (Ayat 169) [Syaitan] mengajak kamu melakukan perkara jahat dan keji, dan khabarkanlah kepada Allah apa yang kamu tidak ketahui.

Jadi, macam mana nak jadikan hubungan seksual yang kasual supaya diterima oleh orang ramai?
Satu cara lagi yang sangat berkesan ialah melalui iklan, siri TV, dan wayang. Ini termasuklah Bollywood, Hollywood, dan juga semua iklan produk serta iklan perkhidmatan yang dengan jayanya telah menyumbang ke arah penghakisan saki-baki nilai-nilai moral masyarakat kita sehinggakan benda-benda yang pantang disebut/dibuat 10 tahun lalu, kini dianggap normal pada masa kini. Kita menggelarnya "hiburan". Kita menggelarnya sebagai kemajuan, iaitu siapa yang ikut pastinya elegan, dan siapa yang tak ikut akan dipandang sebagai kolot.

Inilah yang saya panggil 'The Thin Edge of the Wedge' atau "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang"
Bila dah sampai depan pintu, yang lain akan turut serta masuk ke dalam rumah. Ianya tidak boleh dielakkan lagi, ia pasti berlaku. Hanya tinggal masa yang akan menentukan bila ia akan menimpa kita. Kita fikir tiada apa-apa akan berlaku selagi kita jaga diri kita, kan?
Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan biskut yang tunjuk perempuan pakai baju tak cukup kain gigit biskut sambil baring atas sofa dengan penuh berahi.

Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan aiskrim yang tunjuk perempuan cantik jilat batang aiskrim yang jelas sekali mengingatkan kita mengenai satu lagi 'batang'.
Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan PDA yang fokus lebih kepada lengkungan badan model itu yang menyokong PDA tersebut daripada fokus kepada lengkungan PDA itu sendiri.

Dan selama ini, kita hanyalah menyedapkan hati masing-masing dengan berkata "Ala, semua tu iklan je. Bukannya aku kenal diorang, usik-usik diorang pun, kan? Jadi, diorang tak boleh buat apa-apa kat aku, kan?"
Semua iklan tersebut memang tak boleh apa-apakan kita, kan?
Kita memang tak nampak atau kita berpura-pura tak nampak, agenda sebenar yang telah dirancang – Kejuruteraan Sosial. Tukar norma masyarakat, tukar apa yang boleh dan apa yang tak boleh diterima. Tukar apa yang dilarang dan apa yang tak dilarang. Tukar daripada "Mustahil" menjadi "Penuh Aspirasi" Kamu mesti ingat tiada apa-apa perkara buruk yang akan berlaku, kan? Lihat sajalah bagaimana industri pengiklanan dan perfileman dipromosikan dan berubah semenjak 30 tahun lepas. Selepas itu, kita akan lihat realiti yang menunjukkan generasi ibubapa kita tidak sanggup untuk menonton sesuatu – yang walhal tidak sedikitpun mempengaruhi keperibadian kita.

Persoalannya ialah kenapa kita perlukan anggota badan model wanita untuk jual aiskrim? Bukankah itu halangan para wanita? Tidak, ia bukannya satu halangan! Dia buat semua itu dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa. Samalah seperti main tenis, pemain wanita mesti pakai skirt mini. Pakai burqa ialah satu halangan. Tapi apa jadi apabila dia nak pakai burqa dengan rela hati juga? Mustahil! Burqa bukannya keagamaan, ia hanyalah gaya hidup. Cuba tanya Sarkozy, jadi ia mesti diharamkan.

Tapi, memaksa orang untuk tanggal baju sama sahaja dengan memaksa mereka pakai baju, kan? Ahh! Kamu semua takkan faham! Tapi tak mengapa, kamu semua kolot dan ketinggalan zaman, kan?
Kita juga tengok pelbagai jenis hubungan sebelum kahwin dan selepas kahwin di pawagam dan kaca TV yang menggunakan 'plot cerita' dan 'kebolehan berlakon' sebagai alasan untuk menyedapkan hati kita, contohnya seperti "Ala, dia berlakon je. Bukan betul-betul, kan?" sehingga tibanya hari di mana anak-anak kita akan mempunyai hubungan-hubungan sebegitu rupa. Bila kita tengok di kaca TV, kita tak pernah fikir bahawa ianya akan terjadi di dalam keluarga kita atau rumah kita sendiri, kan?

Tapi,
-   bukankah kita sudahpun menerimapakai budaya-budaya yang baharu ini semasa kita membayar tiket dan menonton wayang?
-   bukankah kita yang beritahu anak-anak kita bahawa semuanya hanyalah 'lakonan semata-mata' sebelum ini?
-   bukankah kita yang anggap ianya tidak mengapa kerana kita tengok kesemua adegan-adegan tersebut secara beramai-rmai sebagai sebuah keluarga?
-   bukankah kita yang memberikan tanggapan pertama yang positif terhadap prinsip "tak payah ikut mak ayah, ikut pelakon lagi seronok"

Kemudian, fenomena siri TV dan drama C-I-N-T-A pula mengambil alih aliran pemikiran kita; fenomena yang pasti meletakkan adegan-adegan suspen sebelum tamat untuk membuatkan kita pasti tengok pada episod seterusnya. Siri TV – Bold and Beautiful,  ialah satu contoh yang baik bagi menunjukkan siri TV tampak berani tetapi tidaklah secantik mana. Ia  mengisahkan hubungan lelaki dan perempuan sehinggalah tiba pada satu tahap di mana ianya menjadi sangat rumit apabila watak perempuan itu adalah isteri kepada seorang ayah, tiba-tiba menjadi ibu kepada seorang anak, dan pada masa yang sama, dia sendiri adalah kekasih lelaki lain, dan sebagainya.

Alangkah bebasnya dia! Dan kita pula sedang berada di mana ketika semua rancangan seperti ini ditayangkan? Di dalam ruang tamu kita sendiri, di mana semua jenis lakonan ditayangkan dan ditonton oleh seluruh ahli keluarga tanpa malu. Kenapa jadi begitu? Kerana kita masih lagi menganggap semua itu hanyalah "lakonan semata-mata" Dan kepada kita yang suka menonton National Geographic, berita, dan Animal Planet – sebenarnya, iklan-iklan yang menyebabkan kita masih menonton rancangan TV.
Apa yang terkandung di dalam iklan-iklan TV? Mereka sedang cuba sedaya-upaya untuk melampaui batas sempadan yang dibenarkan bagi menonjolkan nafsu, berahi, seksi, menukar kebiasaan rakyat, dan menjadikan yang tidak mungkin, mungkin! Tiada sesiapapun yang mahu membantah. Tapi, cuba tonton satu iklan – hampir semua  iklan akan mempunyai pandangan/kritik dari persepsi yang berlainan. Tapi kita tak buat, itu sahaja.

Peringatan: Kepada sesiapa yang tidak pernah tonton TV atau tidak suka TV dan baca surat khabar atau majalah, di dalam media cetak pastinya terkandung lebih banyak iklan-iklan yang melampaui batas.
*'The Thin Edge of the Wedge' atau "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang" sekarang sudahpun membuka pintu dan yang lain akan turut serta masuk ke dalam rumah.
Sekarang, marilah kita lihat segalanya! Homoseksual. Sebelum itu, ingatlah bahawa semua ini adalah bertujuan untuk "kebebasan". Juga tidak ketinggalan, kebenaran orang dewasa serta apakah maksud "dewasa" Sudahkah anda tidak bersetuju terhadap "kebebasan"? Bukankah kamu berada di barisan hadapan semasa perjuangan untuk menyuarakan pendapat, mendapatkan ruang, dan memuaskan nafsu?

Jadi, apa masalahnya sekarang? Semuanya mengenai N-A-F-S-U, kan?
"Selamat tinggal, orang-orang tua. Sekarang ini ialah zaman kami." Kalau tidak percaya, cuba tanya anak-anak kita.
Pernah sekali terjadi perarakan Washington March for Gay Pride pada tahun 1993, mereka melaung:
"Kami di sini. Kami gay. Dan kami berhasrat untuk mengambil anak-anak anda"
Kamu ingat ianya tidak menjadi kebiasaan? Aiskrim pun begitu juga.


Hasil nukilan Sheikh Yawar Baig – 11 Februari 2011  Diterjemah oleh: Khudri Johari
Artikel Asal: Not Mine - Because I am Not  a Valentine Imej: www.funmunch.com

Tuesday, February 8, 2011

Helaian Daun ke-2 : D SaaT2 AkHiR O__0

Assalamuaikum......^___^!!!!!



Pjam2 celik .....dah sampai  ujung  sem  untuk  final  sem  d asasi  uia  pj  nie.....snok  ade  ...  cuak  pun ade....hehee....
snok  sbb ....InsyaAllah......lpas  nie  cuti  le  klau  dpat  graduet...hohooo  lame  oOooO...  tujuh   bulan  ....hihiii....berjangut  le  t  nak  tunggu  masuk  main  campus...



tp 3x  seyes  cuak giler le ..... coz  exam  tyme !!!!!  V__V huhuuu...
Ya  Allah ....permudahkan lah  urusan  ku  agar  semua  nya  berjalan  dgan  lancar  dan  bantulah  aq  dan  sahabat2  ku  dlam  menjawab  soalan  untuk  final  exam nie...Amin!!!!
Same2  le kite  berdoa  ye.....InsyaAllah  doa  sahabat  untuk  sahabat  yg  laen  itu  d  antara  doa  yg  mustajab.........




d  kesempatan  ine  saye  ingin  mengucapkan  seribu  kemaafan  kpada   semue  sahabat2  yg  mengenali  diri  inie .....seandainye  tersalah  kate  terclap  bicare (same je pun 2 tu)   ....sorry....asif....gomeinei....T__T
klau  ade  utang  duet  ke  ..... klau  x berkesempata  harap  d halalkan.....duniawi  je tu....heheee
tp  klau  terutang  budi ....hanya  Allah  yg  bisa  membalas  jasa  mu  itu.....hohooo  ayat  sentimen...XP
& tuk  utang  yg LAEN  tu.... klau  kite  jupe  awak  t  next  tyme  kite  setelkan  ye.....  pham 2  le ...heheee....arap2  awak  pham ......


 
Juge  ingin  mengucapkan  maceh  banyak  kpade  sume  yg  banyak  membantu  diri  ini  ...sepanjang  berade  d  uia  nie ..... walaupun  saye  x panjang  tp  x de la  pendek  sangat  pun ..hehee ...... O__0 


sekian  dari  saye  tuk  entry  ke  -2 ine.....Wassalam....^____^





Monday, February 7, 2011

Milikilah Sifat Malu

0

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.

Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman. 

Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.
Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu.  Ini adalah kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang. 

Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.
Dari Abu Mas'ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu 'anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: 'Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu." - (HR Bukhari)
Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu 'alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

"Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu" bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.
Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.
Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.
Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu 'alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:
"Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman."
Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda:
"Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Shahih Muslim No.50)
Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda:
"Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." - (Shahih Muslim No.53)

Muslimin-muslimat sekalian,
Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.
Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.
Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.
Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.
Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.
Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.
Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.
Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.
Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.

Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.
Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.
Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.
Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itulah sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.

Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. "Just Do It" antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam.
Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.
Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.
Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa "Malu bertanya sesat jalan".  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.
Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH subhanahu wata'ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.
Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.
Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata'ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

- Artikel iluvislam.com