Monday, June 13, 2011

Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati?


0

Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.

Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?

Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,
Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple". Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?
Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.

Jodoh?

 Masih tidak yakin dengan janji Allah.?
Di dalam kuliah, seorang ustaz menerangkan bahawa qada'  bermaksud perkara yang akan berlaku dan qadar perkara yang telah ditetapkan sejak azali . qada' terbahagi kepada dua iaitu qada' muallaf iaitu yang akan berubah manakala qada' mubra adalah perkara yang telah ditetapkan sejak azali yang merangkumi jodoh, ajal, rezeki dan beberapa perkara lagi.
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?
Lihatlah.

Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?
Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya

Mari Menjadi Hamba kepada pencipta

 Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.
Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!


Jangan terlalu fikirkan cinta

Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf  dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.
Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.
Lihatlah cinta yang sebenar ini!

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."
Sumber imej : Google Image

-Artikel Iluvislam.com

Blogger itu Pendakwah

0

Sewaktu di SMAP Kajang dahulu, saya diberi peluang untuk melihat bermacam-macam cara yang dipraktikkan dalam berdakwah. Hakikatnya, di sanalah juga saya mengetahui hakikat sebenar apa itu berdakwah. Murabbi-murabbi dan senior-senior di sana secara tidak langsung memberikan aspirasi dan kekuatan kepada mereka yang berusaha mengenal apa itu erti dakwah, apa itu amar maaruf nahi mungkar.
Saya terjun dalam dunia blogging juga merupakan hasil aspirasi daripada senior-senior SMAP Kajang yang menggunakan perantaraan blog untuk menyebarkan kebesaran Ilahi. Tidak jemu menulis dan berkarya, menonjolkan keindahan Islam itu sendiri, sama ada peringatan buat diri sendiri atau orang lain. Sedari itulah, saya mula menyedari bahawa blogger itu pendakwah.


Menulis kerana Allah
Kalau pembaca di sini belum pernah disoal oleh sesiapa soalan ini, biar saya menjadi manusia pertama yang bertanya:

"Apa tujuan utama saudara/ saudari berblog?"
Jawapan yang diberikan mungkin pelbagai, mengikut keadaan dan situasi ketika mula-mula dikurniakan ilham untuk menulis di blog. Mungkin kerana minat menulis dan berkarya, berkongsi, berusaha menjana pendapatan, pengaruh rakan-rakan lain yang rata-ratanya mempunyai blog sendiri dan malah ada yang sekadar suka-suka.

Tetapi, satu perkara yang sepatutnya kita semua sedar, hidup ini keseluruhannya adalah suatu ibadah kepada Allah jika nawaitu itu disandarkan pada-Nya. Begitu juga halnya yang harus terjadi kepada setiap blogger.
"Sahaja aku berblogging kerana Allah Taala"
Atau
"Sahaja aku menulis kerana Allah Taala"

Pengisian yang Berisi
Tidak kira apa jua bentuk pengisian dalam blog kita, sama ada berbentuk Islami, motivasi, peribadi, perkongsian hidup dan pengalaman, perniagaan atau apa sahaja, andai niat kita adalah kerana Allah, Insya-Allah pasti mampu memberi manfaat dan beerti kepada para pembaca. Pasti ada unsur keindahan Islam yang dapat kita ketengahkan kepada para pembaca.
Andai kita menulis soal kehidupan diri kita, selitkan nilai dan pengajaran di sebalik perkara kebaikan atau kesalahan yang pernah kita lakukan, agar para pembaca dapat mengambil iktibar daripada penulisan kita. Bukan berniat berbangga dengan kebaikan, apatah lagi berbangga dengan dosa dan maksiat yang dibuat.
Andai kita meminati bidang fotografi, dan sering berkongsi gambar yang diambil bersama pembaca di blog, itu juga mampu membuat para pembaca berfikir sebentar, bahawa betapa indahnya ciptaan Tuhan. Betapa agungnya Dia yang Mencipta segalanya.
Jika kita menjalankan perniagaan melalui blog, berniagalah dengan cara Islam. Tiada riba dan unsur penindasan. Tiada unsur penipuan dalam perniagaan. Jika menjual pakaian, biarlah menutup aurat. Andai menjual makanan, biarlah halal dan berkhasiat. Insya-Allah, selain keberkatan dalam berniaga, pastinya ada saham kita di akhirat, kerana mungkin ada pembaca atau pelanggan, atau tidak kurang juga pesaing perniagaan kita yang mempraktikkannya dalam perniagaan dan kehidupan mereka.

Islam itu indah, bukan?
"Islah Nafsak wad'u Ghairak."
"Islahkan dirimu dan ajaklah yang lain."
Jadikan kata-kata ini pedoman dalam kita melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Islahkan (perelok) diri kita, dan pada waktu yang sama, berusahalah berdakwah kepada yang lain.
Bukan :
"Islah nafsak, thumma ud'u ghairak"
"Perbaiki dirimu, kemudian(barulah) ajak orang lain."
Jelas bukan, kita semua dituntut berdakwah. Kita sebagai blogger juga mempunyai ruang dan peluang untuk turut sama berdakwah. Cuma, antara mahu atau malu sahaja yang menyuruh atau menghalang kita melakukan tugas mulia ini, atas tiket seorang blogger.
Buang pemikiran:

"Aku bukan ustaz."

"Aku bukan ustazah."

"Aku bukan baik sangat pun."

"Isy, seganlah. Nanti buat salah sikit orang tegur."

Buang, lempar jauh-jauh semua pemikiran sedemikian. Kesempurnaan bukanlah syarat kelayakan dalam berdakwah dan mengajak orang lain menjadi manusia yang baik. Hakikatnya, tidak akan ada manusia yang sempurna peribadinya seperti Rasulullah s.a.w. Jika terus menunggu kesempurnaan, Islam itu tidak akan tersebar ke mana-mana.

Berdakwah bukan bermaksud kita mestilah seorang yang soleh atau solehah, tetapi kita manusia yang mengimpikan peribadi yang soleh dan solehah. Mengimpikan redha Ilahi dalam setiap amalan dan perbuatan. Secara tidak langsung, kita juga akan terhindar daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Berblog bukanlah medan kita berdakwah kepada orang lain, tetapi berdakwah kepada diri sendiri dan orang lain.

Blogger itu Pendakwah.

"Blogger itu Jundullah."

-Artikel Iluvislam.com