Kha, 30 Ogo 2012 09:25 |
Zulkifly Bin Mohd Yunus
| Aina Amidin
Apa juga amal, baik yang kecil mahupun besar, niat yang ikhlas tak
pernah terpisah daripada syarat diterima amal tersebut oleh Allah.
Demikian Rasulullah SAW menekankan persoalan ini dalam hadis, "
Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya, dan bagi setiap amal apa yang ia niatkan...", supaya umat Islam sentiasa segar dalam niat Ubudiyyah kepada Allah.Hanya kerana Allah dan untuk Allah semata-mata.
Banyak dalil yang boleh kita cari untuk bercerita tentang niat. Kita
bukan berhadapan dengan kekurangan dalil, namun kurang penghayatan.
Amal yang kelihatan seperti ibadah boleh bertukar menjadi tidak
bernilai dengan niat yang tersasar. Sedangkan amal yang kelihatan kecil
dan kurang signifikan di mata manusia, boleh menjadi sesuatu yang amat
besar nilainya di sisi Allah dengan niat yang tulus. Solat yang didasari
riyak adalah dicela, sedangkan salam dan senyum yang ikhlas untuk
menghubungkan silaturrahim kerana Allah itu besar nilainya.
Kita harus sentiasa meluruskan niat. Selagi ada hayat, selagi itu
niat akan sentias teruji. Niat asal yang baik dan suci boleh bertukar
menjadi keji jika kita tidak sentiasa muhasabah dalam perjalanan. Jangan
mengatakan jemu jika pesan tentang meluruskan niat sentiasa
diulang-ulang. Selagi kita masih hidup, selagi itu kita harus sentiasa
menghayatinya kerana hati manusia lebih cepat berbolak balik daripada
air yang menggelegak. Ikhlaskan niat di awal amal, dan sentiasalah
meluruskannya sepanjang beramal dan setelah amal tersebut selesai
dilaksanakan.
Demikianlah yang berlaku dalam perjalanan sejarah Rasulullah SAW dan
para sahabat. Hadis tentang niat disampaikan Rasulullah SAWn setelah
peristiwa hijrah, 13 tahun setelah berjalannya dakwah dan tarbiyah. Tiba
di perang Badar, para sahabat diingatkan lagi untuk berperang hanya
kerana Allah, bukan kerana marah. Selesai perang Uhud yang menyakitkan,
para sahabat belajar bahawa niat untuk mendapatkan harta rampasan perang
dan tidak mengikut perintah Rasulullah SAW adalah salah. Ketika ada
yang ingin masuk Islam untuk mendapatkan kedudukan-kedudukan yang
tertentu, Rasulullah SAW terus memperbetulkan niat mereka dengan
menjanjikan Syurga, bukannya dunia.
Bahkan setelah kewafatan Nabi SAW, Abu Bakar RA terus menjalankan
peranan meluruskan niat para sahabat bahawa perjuangan ini adalah untuk
Allah dan mesti diteruskan sekalipun Muhammad SAW sudah dipanggil Ilahi.
Begitu juga Umar RA, beliau menukarkan jawatan pemimpin tentera yang
dipegang oleh Khalid Al-Walid RA kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah RA ketika
peperangan sedang berlangsung, demi meluruskan niat para tentera Islam
bahawa perjuangan ini ikhlas untuk Allah, sekalipun bukan dipimpin
Khalid RA.
Keikhlasan kita tak dapat dibandingkan dengan keikhlasan para Sahabat
RA. Tidak terbanding dengan keikhlasan Ka'ab Bin Malik ketika mengakui
bahawa beliau tidak turut serta perang Tabuk kerana kelalaiannya, tidak
terbanding dengan keikhlasan Abu Dzar Al-Ghifari RA ketika beliau
meletakkan kepala di tanah untuk diinjak Bilal RA, saat beliau memanggil
Bilal RA dengan panggilan "anak budak hitam" dan ditegur Rasulullah SAW
bahawa dalam dirinya masih punya sisa-sisa jahiliyyah. Apatah lagi nak
dibandingkan keikhlasan Abu Ubaidah Al-Jarrah mencabut besi di wajah
Nabi SAW dalam perang Uhud sehingga giginya tercabut, atau keikhlasan
Mush'ab Ibnu Umair mempertahankan panji Islam sehingga tangannya
terpotong dan nyawanya melayang.
Ah, dengan keikhlasan kita yang belum benar-benar dibuktikan,
bukankah kita yang lebih patut untuk menggandakan usaha meluruskan
kembali niat sepanjang masa? Jangan kita merasa selamat dan takkan
terpaling daripada kebenaran dengan melihat kepada keimanan yang kita
'rasa'kan kuat sekarang, kerana kisah berpaling juga pernah berlaku pada
zaman Sahabat RA. Dalam sebuah majlis Rasulullah SAW yang dihadiri
beberapa sahabat, baginda berpesan bahawa akan ada salah seorang
daripada mereka yang gigi gerahamnya di dalam neraka lebih besar
daripada bukit Uhud (ertinya akan menjadi ahli neraka). Setelah
kewafatan Nabi SAW, Raj'al Bin 'Unfuwwah (salah seorang yang berada
dalam majlis tersebut) dihantar Abu Bakar RA untuk mengembalikan
Musailamah Al-Kazzaab (pemimpin golongan murtad) kepada kebenaran.
Tatkala dia melihat ramainya pengikut Musailamah dan termakan kata-kata
manis si penipu itu, Raj'al akhirnya murtad. Riwayat hidupnya akhirnya
ditamatkan oleh Zaid Bin Khattab dalam perang Yamamah. Demikianlah kisah
salah seorang yang pernah bersama dalam majlis Rasulullah SAW, beriman
dengan risalah baginda, akhirnya mati dalam keadaan kafir.
Kita tidak pernah bertemu dan bersama dengan baginda SAW. Kita tidak
pernah berada dalam majlis baginda SAW yang begitu menghidupkan hati.
Kita amat rindu untuk bertemu dengan baginda SAW di syurga. Bagaimana
mungkin syurga itu layak bagi kita, jika kita tidak sentiasa meluruskan
niat 'Ubudiyyah kepada Allah? Tiada jaminan bahawa kita akan sentiasa
berada atas jalan yang lurus. Barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya
tiadalah yang dapat memberi petunjuk. Maka bersungguh-sungguhlah kita
memohon agar Allah menetapkan hati kita dalam agama-Nya, dalam ketaatan
kepada-Nya.
Rasulullah SAW dan para sahabat telah meninggalkan teladan yang
terbaik tentang menjaga keaslian niat. Jangan sampai keaslian itu kita
cemari, sehingga generasi yang kita lahirkan nanti adalah generasi yang
lebih jauh daripada niat asal perjuangan yang suci, iaitu untuk Allah.
Jangan sampai amal-amal yang besar yang boleh membawa ke Syurga,
memasukkan kita ke neraka kerana niat yang tercemar. Biarpun kita sakit
dalam mempertahankan niat, kesakitan kita tidak sampai seperti Khabbab
Bin 'Arat yang dipanggang atas bara yang beliau gunakan untuk membuat
pedang, sehinggakan lemak daripada belakang badannya memadamkan bara api
tersebut. Kesakitan kita tidak seperti Bilal RA, yang menahan batu
besar dalam teriknya matahari kerana menjaga keikhlasan 'Ubudiyyahnya,
"ahad...ahad...".
Tulisan ini adalah tentang meluruskan niat sepanjang hayat, sepanjang
zaman. Di fasa manapun kehidupan kita, jangan pernah leka membiarkan
niat tersasar walaupun sedikit. Kerana asal penyimpangan yang besar
adalah kelengahan terhadap perkara-perkara kecil di peringkat awal.
Jangan biarkan niat Ubudiyyah kita berubah ketika sampai kepada titik
pernikahan, atau dikurniakan cahaya mata, diberikan harta yang begitu
mempesonakan, diberikan jawatan dengan begitu banyak keistimewaan. Jika
sebelum sampai kepada fasa-fasa tersebutpun kita begitu lengah dengan
persoalan niat, maka jangan terlalu yakin bahawa niat kita akan sentiasa
tulus ketika kita sampai kepada fasanya.
Hargailah, ketika di awal setiap majlis pertemuan, ada yang berpesan "
mari kita sama-sama luruskan niat".
Kata Ibnu Atho'Illah As-Sakandari, "Antara tanda-tanda kejayaan di
akhir perjalanan itu adalah kembali kepada Allah di awal perjalanan".
Semoga Allah membersihkan niatku dan niatmu.
Wallahua'lam.
-
Artikel iluvislam.com